Jumaat, 13 April 2018

Resepi Biskut Beras Coklat Rangup

Hari ini Cik KRS kongsi Resepi Biskut Beras Coklat Rangup pula. Resepi biskut ini tidak menggunakan tepung, selalunya budak-budak suka. Lebih-lebih lagi sebab ada coklat. Cara nak membuat biskut beras coklat ini memang cukup mudah.

Biskut Beras Coklat Ranggup ini sebenarnya anda boleh variasikan. Kalau tak nak guna beras rangup, boleh gantikan dengan cornflakes. Kacang tanah juga boleh digantikan dengan jenis kekacang yang lain.


Resepi Biskut Beras Coklat Rangup

Resepi Biskut Beras Coklat RangupBahan-bahan
250g mentega
1 biji telur
50g gula aising (boleh gantikan dengan madu)
250g beras rangup
50g kacang tanah (dicincang)
Coklat masakan (dicairkan)
mangkuk kertas
coklat warna atau kekacang (untuk hiasan)

Cara Membuat Biskut Beras Coklat Rangup

1) Mula-mula kacau mentega, telur dan gula sehingga sebati.
2) Selepas itu masukkan beras rangup dan kacang tanah sedikit demi sedikit.
3) Kacau semuanya sehingga rata.
4) Masukkan coklat yang telah dicairkan. Kacau sebati.
5) Sudukan adunan ke dalam mangkuk kertas yang telah di susun atas dulang pembakar.
6) Hiaskan dengan taburan kekacang atau coklat warna-warni
7) Bakar pada suhu 175℃ untuk 15 ke 20 minit.

Dah siap... Selamat mencuba.

Rabu, 11 April 2018

Resepi Biskut Cornflake Raya

Untuk koleksi biskut raya 2018, Cik KRS nak kongsikan Resepi Biskut Cornflake Raya. Bukan sahaja lemak dan ranggup, biskut cornflake ini juga mudah dibuat. Untuk anda yang baru pertama kali nak buat biskut raya homemade, bolehlah cuba resepi ini.

 Resepi Biskut Cornflake Raya ini menggunakan bahan-bahan asas untuk membuat biskut. Untuk anda yang dah terer buat biskut raya, bolehlah variasikan resepi asas yang Cik KRS kongsikan di bawah ini mengikut citarasa anda sendiri.

 Resepi Biskut Cornflakes Ranggup

Bahan-bahan
Resepi Biskut Cornflake Raya
 375g Tepung Gandum
250g Mentega
185g Gula Kastor
2 cawan Cornflakes
2 biji Kuning Telur

 Cara Membuat Biskut Cornflakes Ranggup

1) Mula-mula pukul mentega dan gula sehingga kembang.
2) Kemudian tambahkan tepung gandum sedikit demi sedikit. Pukul pada kelajuan sederhana.
3) Selepas itu tambahkan kuning telur.
4) Seterusnya masukkan cornflakes yang telah di hancurkan sedikit dan uli doh sehingga sebati.
5) Ambil sudu kecil dan sudukan adunan ke atas dulang pembakar yang telah disapu dengan sedikit mentega terlebih dahulu.
6) Akhir sekali bakar adunan biskut dalam ketuhar yang telah dipanaskan suhu 175℃ untuk kira-kira 15 ke 20 minit atau sehingga biskut perang keemasan.

Cadangan untuk mendekorasi biskut cornflakes : Taburkan coklat urai atau letakkan hirisan ceri sebelum membakar biskut.

Selamat mencuba Resepi Biskut Cornflake Raya



Rabu, 4 April 2018

Resepi Kek Kopi Yang Memikat

Resepi kek untuk hari ini Cik KRS namakan Resepi Kek Kopi Yang Memikat. Apa yang memikat? Tentulah rasa kek kopi ini yang sangat sedap kerana ditambahkan dengan sedikit serbuk koko membuatkan kek ini ada rasa lemak pahit gitu.

Kek kopi ini boleh dijadikan hidangan untuk minum petang. Tetapi kalau anda rajin mendekorasi kek, ia juga boleh dibuat untuk kek harijadi ataupun untuk musim perayaan. Untuk hari raya nanti pun boleh.

Resepi Kek Kopi Yang Memikat


Bahan-bahan
Resepi Kek Kopi
5 biji telur
250g mentega
250g gula kastor
250g tepung gandum
50g serbuk koko
½ cawan susu segar
1 ½ sudu besar serbuk kopi segar
2 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh serbuk esen vanila
½ sudu teh garam halus

Cara Membuat Kek Kopi
1) Mula-mula pukul mentega dan gula hingga kembang.
2) Masukkan esen vanilla, serbuk penaik dan garam.
3) Pukul sehingga adunan sebati.
4) Selepas itu masukkan telur satu persatu diselang selikan dengan tepung gandum.
5) Kemudian masukkan serbuk kopi dan susu.
6) Selepas adunan dah sebati, tuang adunan ke dalam loyang yang telah disapu mentega.
7) Bakar dalam ketuhar pada suhu 180 darjah celsius selama 40 minit atau sehingga kek masak.

Selamat mencuba Resepi Kek Kopi Yang Memikat 



Isnin, 2 April 2018

Resepi Biskut Kacang Gajus

Koleksi biskut raya dimulakan dengan Resepi Biskut Kacang Gajus. Penggemar kacang gajus, anda wajib cuba resepi biskut raya ini. Rasa biskut kacang gajus yang lemak dan ranggup pasti dapat memikat rasa tetamu yang datang beraya ke rumah.

Memandangkan bulan depan kita dah mula berpuasa, jadi sementara ni Cik KRS nak lebihkan perkongsian koleksi resepi biskut raya dan kek. Bolehlah anda salin resepi dan beli bahan-bahannya lebih awal. Bila nak buat nanti takdelah kelam kabut pula ye tak.

Resepi Biskut Kacang GajusResepi Biskut Kacang Gajus

Bahan-bahan
320g tepung gandum
80g tepung jagung
70g kacang gajus (dikisar)
225g mentega
225g gula kastor
1 biji telur
secubit garam
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh esen vanila
kacang gajus (hiasan)

Cara Membuat Biskut Kacang Gajus
1) Mula-mula pukul mentega, gula dan garam.
2) Selepas itu masukkan telur dan esen vanilla. Pukul hingga sebati.
3) Masukkan tepung gandum, tepung jagung, dan serbuk penaik yang telah diayak bersama.
4) Adun sebati kemudian masukkan kacang gajus yang telah dikisar.
5) Setelah adunan biskut sebati, bentukkan mengikut acuan kegemaran anda.
6) Susun ke atas dulang pembakar yang telah disapu mentega.
7) Letakkan gajus diatasnya kemudian sapukan sedikit kuning telur.
8) Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 180 darjah celsius untuk kira-kira 20 minit atau sehingga biskut berwarna kuning keemasan.

Selamat mencuba Resepi Biskut Kacang Gajus.

Selasa, 27 Mac 2018

Resepi Asam Rebus Ikan

Mudahnya Resepi Asam Rebus Ikan ni. Tengah fikir nak masak sesuatu yang ringkas tetapi sedap. Untuk penggemar menu yang pedas dan masam, Cik KRS kongsikan bahan-bahan untuk memasak Asam Rebus Ikan

Berbeza dengan asam pedas, Asam Rebus Ikan ni kita guna nenas untuk menggantikan bendi. Dan anda tidak perlu menumis bahan-bahannya, semuanya kita rebus. Mudah kan. Untuk yang baru nak belajar memasak pun boleh cuba resepi ini.

Resepi Asam Rebus Ikan
Resepi Asam Rebus Ikan


Bahan-bahan
3 ekor ikan selar
3 keping asam gelugur
2 tangkai daun kesum
3 biji bawang merah (dikisar)
3 tangkai cili merah (dikisar)
1/2 inci belacan (dikisar)
1/2 biji nenas (dipotong kecil)
sedikit serbuk kunyit
garam secukup rasa

Cara Memasak Asam Rebus Ikan
1) Mula-mula bersihkan ikan selar. Kalau tak suka ikan selar, boleh guna ikan lain.
2) Masukkan kesemua bahan-bahan ke dalam periuk.
3) Tuang air secukupnya.
4) Masak sehingga mendidih.
5) Sebelum tutup api, masukkan garam secukup rasa

Dah siap. Bolehlah anda hidangkan Asam Rebus Ikan ini dengan nasi dan menu-menu sampingan yang lain.

kredit: 1 hari 1 resepi

Jumaat, 23 Mac 2018

Resepi Kek Marble Sedap Dan Gebu

Nak Resepi Kek Marble Sedap Dan Gebu tak? Senang je nak buat kek marble tetapi untuk dapatkan kek yang sedap dan gebu tentu ada rahsianya kan.

Cik KRS tertarik pada satu resepi kek marble ini. Kek kedua yang Cik KRS cuba buat selepas kek coklat adalah Kek Marble. Kalau pandai buat, bila potong kek tu corang belangnya memang cantik. Anda nak cuba buat tak? Nah ikut resepi ni

Resepi Kek Marble
Resepi Kek Marble Sedap Dan Gebu

Bahan-bahan
400g mentega
1 1/4 cawan gula halus
1 sudu teh esen vanila
1/2 cawan susu pekat
5 biji telur
1/4 cawan susu segar
(bahan-bahan untuk diayak)
3 cawan self raising flour + 50g susu tepung
2 sudu besar serbuk koko

Cara Membuat Kek Marble yang sedap dan gebu
1) Mula-mula pukul mentega, gula halus dan esen vanilla sehingga ringan dan gebu.
2) Selepas itu masukkan susu pekat sedikit demi sedikit. Terus pukul pada kelajuan sederhana.
3) Seterusnya masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul sehingga sebati.
4) Kemudian masukkan self raising flour atau tepung naik sendiri yang telah diayak bersama susu tepung tadi. Masukkan berselang seli dengan susu segar.
5) Selepas dah kacau sebati, bahagikan adunan kepada dua bahagian. Satu adunan tambahkan serbuk koko yang telah diayak terlebih dahulu.
6) Di dalam loyang yang telah disapu minyak atau dilapik dengan baking paper, sendukkan adunan berselang seli (yang asli dan yang bercampur koko) sehingga habis kesemua adunan.
7) Masukkan dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 180 darjah celsius. Bakar untuk kira-kira 50 minit atau sehingga kek masak.

Mudah je kan Resepi Kek Marble Sedap Dan Gebu ni. Jangan lupa cuba tau

sumber: Notawanita